Wednesday, August 20, 2008

Akidah

Akidah dari segi jamaknya ialah ikatan, pautan atau sangkutan. Menurut istilah ialah mengikat antara jiwa makhluk yang diciptakan dengan khaliq yang menciptakannya. Jika diibaratkan bangunan, maka akidah itu adalah tapaknya (cerucuknya). bila tapaknya kuat, maka bangunan itu berdiri teguh dalam menghadapi gegaran bumi dan tiupan taupan; sebaliknya bila tapaknya rapuh, maka bangunan itu akan mudah runtuh rebah tersungkur ke bumi.

Akidah itu merupakan usul (pokok atau asas agama Islam) yang diaplikasikan dalam bentuk ahkam atau syariah iaitu peraturan-peraturan sebagai furu atau cabang dari agama. Di dalam al-Quran dan Hadith, pengertian akidah dan syariah disebut iman dan amal.

Unsur yang paling penting dari akidah ialah keyakinan yang bulat dan mutlak bahawa Allah itu Esa atau tunggal; tiada berbilang atau banyak. Al-Quran menyatakan: "Katakanlah:"Allah itu Esa. Allah tempat meminta. Tiada beranak dan tiada diperanakkan (tiada ibu bapa). Tiada seorang pun yang serupa (menyamai) denganNya." (Lihat al-Quran 112 :1-4).

Keyakinan yang bulat dan mutlak menjadi initisari akidah Islam, yang dilafazkan dalam kalimah al-thayyibah (lihat al-Quran 14 : 24) atau kalimah syahadah 'Laa ilaaha illallaah' (tiadaTuhan melainkan Allah). Melalui kalimah syahadah ini kemudian terhurai bentuk arkan al-iman (rukun iman), iaitu iman kepada Allah, iman kepada malaikat-malaikatNya, iman kepada Kitab-kitabNya, iman kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasulNya dan iman kepada hari akhirat (Lihat al-Quran 2 : 177, 285; 4 : 136).

Ilmu yang kita yang pelajari akidah disebut ilmu aqaid, ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu makrifat, ilmu usul al-din atau ilmu hakikat.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home